Selasa, 30 Mac 2010

Antara Amanah & Kuasa

Masjid dan surau adalah sebuah institusi penting dalam masyarakat islam yang bukan hanya menjadi tempat beribadat , malah juga turut memainkan peranan sebagai tempat perjumpaan untuk majlis-majlis keagamaan dan pelbagai aktiviti masyarakat Islam.

Peranan untuk mengimarahkan masjid adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Masjid yang telah dilantik oleh Institusi Majlis Agama atau Jabatan Agama Daerah , begitu juga dengan Jawatankuasa Surau yang kebiasaannya dilantik dikalangan penduduk kampung yang majoritinya terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung bagi memudahkan kerja-kerja urus tadbir.

Cabaran untuk mengimarah dan memperkasakan masjid bukanlah satu tugas yang mudah, kerana ia melibatkan pelbagai pihak, kumpulan, status dan golongan . Walaupun hal ehwal tadbir masjid ditadbir melalui Jabatan Agama Islam masing-masing , tetapi Jawatankuasa Masjid dan Jawatankuasa penyelaras Surau tetap menjadi fungsi utama untuk menjalankannya.

Perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Masjid , kebiasaannya dilantik dikalangan golongan yang mempunyai jawatan tinggi dan pengaruh yang kuat dikalangan masyarakat setempat. Begitu juga dengan perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Surau Kampung, yang mana Pengerusi JKKK akan dilantik atau melantik diri mereka sebagai Pengerusi Penyelaras Surau, seterusnya diikuti dengan melantik Ahli Jawatankuasa JKKK sebagai Ahli Jawatankuasa Penyelaras Surau dengan alasan bagi memudahkan, mellicinkan dan menyelaraskan urus tadbir surau di bawah pengurusan ketua yang sama.

Walaubagaimanapun, kita dan masyarakat merasa sedikit keliru dan kecewa apabila perlantikan jawatankuasa urus tadbir institusi keagamaan kita ini dipengaruhi dan dibayangi dengan pengaruh pihak-pihak tertentu serta dilantik dikalangan kroni-kroni mereka sendiri, tanpa melihat kesediaan serta komitmen dan keaktifan penglibatan mereka untuk melaksanakan fungsi institusi yang disanjungi oleh masyarakat islam.

Kita seharusnya melihat perkara ini sebagai satu masalah atau isu yang serius, ini kerana perlantikan mereka yang berpengaruh ini hanyalah di atas kertas, tetapi mereka tidak pernah atau jarang-jarang menjejakkan kaki ke masjid, atau tidak pernah mahu terlibat dengan aktiviti-akltiviti keagamaan yang dijalankan dimasjid. Jadi bagaimana ‘Orang yang gila kuasa ini‘ mampu menjalankan tugas mereka, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa pun tentang hal-hal keagamaan yang dijalankan. Kita yakin, tidak semua orang berpengaruh yang dilantik termasuk dalam golongan tersebut.

Mungkin banyak yang mempunyai kemampuan untuk menjalankan amanah yang diberi , tetapi tuntutan duniawi membuatkan hanya sedikit yang betul—betul mempunyai semangat untuk menjunjung ‘amanah akhirat’ tersebut. Janganlah kita biarkan kesucian institusi keagamaan kita tercemar oleh manusia sebegini, yang hanya menggunakan jawatan tertinggi dalam institusi keagamaan ini sebagai satu cara untuk dilihat sebagai orang berpengaruh yang ‘alim’ , sedangkan ‘bau‘ masjid pun dia tidak tahu.

Susulan isu ini, kita tertarik dengan isu pertikaian Jawatankuasa sebuah Masjid di DUN Chukai yang mana Ahli Jawatankuasanya terdiri daripada golongan ahli politik dan ahli korporat yang berpengaruh. Walaubagaimanapun, apa yang ingin diperkatakan ialah tentang rasa tidak puashati dan dakwaan masyarakat dan para jemaah masjid tentang sikap Jawatankuasa Masjid yang dilantik tidak pernah mengadakan mesyuarat atau perjumpaan dengan para jemaah untuk berbincang tentang cara atau program perancangan untuk bersama-sama mengimarahkan masjid tersebut.

Selain daripada itu jemaah masjid dan masyarakat kampung juga terkilan kerana Jawatankuasa Masjid itu tidak mengadakan sebarang program keagamaan yang sepatutnya diadakan untuk menarik lebih ramai jemaah ke masjid sehingga dikhabarkan telah terbentuknya sebuah organisasi baru yang dibentuk sendiri oleh ahli jemaah masjid untuk merancang dan melaksanakan aktiviti.

Namun apakan daya jawatankusa itu akhirnya difitnah dengan pelbagai tuduhan dan bukannya berterima kasih apatah lagi nak beri sokongan dan dengar khabar lagi beberapa aktiviti kelas keagamaan mereka juga dihalang. Betul ke???
Kita bimbang seandainya perkara ini dibiarkan berterusan , masyarakat kita akan hilang keyakinan terhadap kemampuan institusi keagamaan kita untuk menarik jemaah dan mentarbiah masyarakat islam kita untuk mendekati ‘Rumah Allah ‘ itu.

Lama kelamaan, masjid dan surau hanya tinggal nama , yang ada cuma orang yang berhenti berehat setelah melalui perjalanan yang lama untuk kesesuatu destinasi, dan pengunjung setianya hanyalah ‘Tok Imam’ dan ‘Tok Bilal‘ yang setia ‘berduet’ bersama. Apatah lagi tempelaknya mesti melekat juga kepada parti yang memerintah.

Sewajarnya penglibatan dan dakwah digerakkan oleh semua pihak , dan seharusnya dan seelok-eloknya dimulakan oleh golongan atasan atau golongan yang berpengaruh dalam masyarakat agar lebih mudah untuk mempengaruhi dan menjadi contoh kepada golongan bawahan agar dakwah dan aktiviti keislaman dapat memberi impak positif kepada semua pihak tanpa mengira status dan kedudukan . Jadikanlah masjid kita sebagai ‘landasan ke syurga , bukan titian untuk membawa kita ke neraka’. Renung-renungkan…

“Pilihlah Pemimpinmu dikalangan orang yang beriman dan berkata benar , janganlah kamu memilih pemimpin dikalangan orang yang munafik dan suka berdusta ”


Ahad, 28 Mac 2010

Tingkatkan Kualiti Kereta Sewa

INPUT...Mohamed menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis

CHUKAI 25 Mac – Kereta Sewa merupakan salah satu agen penting dalam membantu kemajuan sesebuah Negara untuk mencapai status sebuah negara maju.

Rentetan itulah maka pengusaha kereta sewa disaran agar dapat menjaga penampilan tidak kira samaada ketika mencari penumpang dan juga membawa penumpang.

Saranan ini telah diperkatakan oleh YB Dato’ Hj Mohamed Bin Hj Awang Tera, ADUN Chukai, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-2 Persatuan Kebajikan Pengusaha Teksi / Kereta sewa Center Point, Chukai, Kemaman.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi Negeri berkata, Pemandu teksi mesti bijak berkomunikasi dan sedikit sebanyak mesti boleh berbahasa inggeris.

Tambahnya lagi, soal penampilan diri dan kebersihan di dalam kereta amat penting kerana perkhidmatan ini merupakan kenderaan yang penting digunakan oleh pelabur dan pelancong asing.

Selasa, 23 Mac 2010

Dalam Proses Pembikinan

Terima kasih kerana melawat blog kami