Selasa, 13 April 2010

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT DAERAH KEMAMAN

JOHAN QARI...En Ab Hamid Bin Abdullah

CHUKAI 12 April – Seramai sebelas peserta telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang terdiri daripada enam orang qari dan lima orang qariah dari sekitar daerah Kemaman.

Majlis Tilawah Al-Quran yang diadakan di Perkarangan Masjid Paya Berenjut telah menarik kehadiran hampir 1000 orang penduduk dari setiap pelusuk daerah Kemaman.

Hanya peserta yang melepasi ujian saringan atau tahsin dan memperolehi markah yang memuaskan akan diperdengarkan bacaannya pada malam berlangsungnya Majlis Tilawah Al-Quran di sini.

En Ab Hamid Bin Abdullah (Kemasik) dan Pn Hapisah Bt Tuan Abu Bakar(Kijal) masing-masing muncul johan Qari dan Qariah dengan markah 80 peratus dan 72 peratus.

Manakala Tempat ke-2 bagi Qari dimenangi En Yahya Bin Hj Ali (Air Putih) dengan markah 74.3 peratus dan Qariah pula jatuh kepada Pn Zah @ Tijah Bt Said (Air Putih) dengan markah 67 peratus.

Sementara itu, En Abd Razak Bin Jusoh (Kemasik) dengan markah 74 peratus dan Pn Saloma Bt Omar (Air Putih) telah muncul sebagai pemanang bagi tempat ketiga bagi Qari dan Qariah.

Johan Qari dan Qariah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 2000.00 dan piala iringan, naib johan menerima wang tunai RM1000.00 dan cenderahati, manakala tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai sebanyak RM800.00 dan cenderahati. Kesemua hadiah-hadiah tersebut adalah sumbangan daripada YB Dato’ Hj Mohamed Bin Hj Awang Tera, ADUN Chukai.

YB Mulia Dato’ Tengku Putera Bin Tengku Awang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu hadir mewakili YAB MB merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran ini.

Sabtu, 10 April 2010

Ilmu Asas Kekuatan Bangsa

Mesra...TokMat mengambil peluang beramah mesra dengan ibu bapa yang hadir

CHUKAI 10 April – Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Koperasi, Dato’ Hj Mohamed B Hj Awang Tera berkata, “Islam sememangnya telah meletakkan ilmu satu perkara yang penting dipelajari dan perkara ini telah terbukti dalam sirah Rasulullah saw apabila surah yang pertama diturunkan kepada Baginda dimulai dengan bacaan Iqra’ yang bermaksud bacalah (ilmu)”.

“Kerajaan sentiasa meletakkan pendidikan satu perkara yang utama dan para pemimpin kerajaan sentiasa meneroka idea dan alternatif yang baru agar sistem pendidikan yang sedia ada akan melahirkan masyarakat yang bersahsiah dan berdaya saing”.

Tambahnya lagi, “kepentingan didikan ilmu kepada anak-anak tidak seharusnya diletakkan dibahu para guru sahaja kerana ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan pendidikan anak-anak mereka berterusan terutamanya dalam konteks ilmu fardu ain”.

“Saya percaya, hasil kerjasama yang erat diantara guru dan ibu bapa akan memastikan keputusan peperiksaan bagi UPSR, PMR, SPM dan STPM akan terus cemerlang dan Terengganu akan kekal sebagai sebuah negeri yang mendahului negeri-negeri lain selaras dengan penobatan Terengganu Anjung Ilmu”.

Beliau yang juga ADUN Chukai berucap ketika merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan seri Geliga kali ke 28.

Isnin, 5 April 2010

MAK LAGAM - Kebajikan Penduduk Diutamakan

CHUKAI – Demi kebajikan rakyat, pembangunan untuk keselesaan penduduk kawasan Mak Lagam khasnya dan masyarakat sekitar umumnya akan diteruskan dan dirancang dengan lebih tersusun.

YB Dato’ Hj Mohamed Bin Hj Awang Tera, ADUN Chukai berkata, kemudahan jalan raya akan dibaiki dari masa kesemasa dan lampu jalan akan diperbanyakkan bergantung kepada kesesuaian sesuatu kawasan.

Tambahnya lagi, masalah pembinaan longkang yang tergendala sebelum ini telah diambil langkah segera oleh kerajaan dimana projek berkenaan akan ditender semula tidak lama lagi.

Mohamed juga berkata, kerajaan dalam perancangan untuk membina sebuah lagi masjid baru yang akan di bina di kawasan Mak Lagam bagi memudahkan penduduk Mak lagam dan sekitarnya untuk menunaikan solat terutamanya solat jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis solat hajat dan ramah mesra bersama penduduk kawasan Mak Lagam.